...ASAL USUL AD-DAJJAL...
SEJARAH AD-DAJJAL
Bismillahir-Rahmaanir-Rahim...
Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya
telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk sholat. Saya pun pergi
ke masjid dan sholat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai sholat, Rasulullah s.a.w
naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata:
“Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya”, Kemudian
berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?
. Kami menjawab: “ Hanya Allah dan
Rasul-Nya yang lebih tahu”.
Rasulullah s.a.w berkata
lagi: “Demi Allah aku me-nyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin
menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada
kamu bahwa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai
aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang
Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan
kepada kamu sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang
kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan
ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak
dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut
selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang
terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa
dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina
dan duburnya.
Mereka bertanya kepada
binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” .
Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa
itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki,
pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia
pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan
oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai
seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. sepertinya mereka tidak pernah
melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan
besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya:
“Siapakah anda?” . Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar
cerita tentang aku. Sekarang aku pula
ingin bertanya: Siapa kamu ini?”.
Mereka menjawab: “Kami
adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba
datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada
di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati
ini.
“Pada mulanya kami berjumpa
dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali
jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya
dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk
menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu”.
“Itulah sebabnya kami datang
ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu
siapa tuan sebenarnya”, Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan
mereka terus saja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun
kurma yang di Bisan itu, nama tempat di negeri Syam”. Mereka menjawab: “Keadaan
apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar
itu menjawab: “ Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka
menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut
pokok itu tidak berbuah”.
Orang besar itu bertanya
lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah”. Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan
maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka
menjawab: “Airnya tidak surut”, Lelaki itu berkata lagi: “Air sungai itu
disangsikan akan kering”.
Akhirnya lelaki seperti
raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin
itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke
Madinah”, Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang
Arab?”, Mereka menjawab: “Ya, dia
diperangi oleh orang-orang Arab”. Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa
pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahwa Rasulullah s.a.w
telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata
lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya”, Kata
orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah
Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan
menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani
semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri
Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat
menembusinya.”
Kata Tamim Al-Dariy lagi,
Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah
negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, yaitu Madinah. Saudara-saudara
sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab:
“Ya, sudah ya Rasulullah”, Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis
Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang
telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, yaitu tentang Makkah dan Madinah
yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan
Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur”
kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.
Rasulullah s.a.w telah
menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan
bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.
KHUTBAH
RASULULLAH PERIHAL DAJJAL
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy,
beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam
khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda:
“Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat
selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh
Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang
terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil
datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih
ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin.
Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan
sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin. Dajjal itu akan datang
nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan
begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini
akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh
nabi-nabi sebelumku kepada umatnya. Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku
dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu
nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin
kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT
tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata
Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai
membaca atau buta huruf.
Di antara fitnah Dajjal itu
juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya
sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang
disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan
hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk
sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.
Di antara tipu dayanya itu
juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau
ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai
Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu”, Maka syaitan pun datang
menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan
suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia,
sesungguhnya dialah Tuhanmu”.
Di antara tipu dayanya juga
dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan
kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini,
sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup
semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang
dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah,
sedangkan engkau adalah musuh Allah”,Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah
dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.
Kata Rasulullah s.a.w lagi:
“Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba
hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya
tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu
datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-ngakuinya sebagai
Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka
tidak menjadi.
Dajjal itu datang ke tempat
orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai
Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman
mereka pun menjadi.
Tidak ada kampung atau
daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah.
Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh
Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun
demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah
bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti
cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi
bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang
dikatakan hari pembersihan kota Madinah.
Dalam hadis yang lain, di
antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat
kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang
demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di
daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman
kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu
Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya
menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan
tanam-tanaman mereka subur.
Dari Anas bin Malik, katanya
Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu
daya, yaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak
dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak
dipercayai.
Dari Jabir bin Abdullah,
katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah.
Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak
sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota
Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki
atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan
Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang
dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi
membersihkan karat-karat besi.
Diriwayatkan oleh Ahmad,
hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: Pernah satu hari Rasulullah
s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau
bertanya: “Mengapa menangis?” Saya menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah
menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya”. Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya
Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari
gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta
dan cacat”.
Dari Jabir bin Abdullah,
katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak
berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat
puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang
terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian
hari-hari berikutnya seperti hari biasa”.
Ada yang bertanya: “Ya
Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami sholat
lima waktu juga?”, Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak sholat yang
lima waktu itu” .
Menurut riwayat Dajjal itu
nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan
dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya
matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan. Setelah
dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang
apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?”, Mereka semua menjawab: “Ya,
kami ingin”, Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari
begitu cepat berjalan.
Menurut riwayat Muslim,
Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan
hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti
apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian
Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan
kemudian membunuh Dajjal itu”.
Dan menurut ceritanya
setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni
beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya
tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.Wallahualam.
Semoga bermanfaat bagi yang
membacanya .....
Segala puji bagi Allah, yang
dengan nikmat-Nya sempurnalah semua kebaikan ....
Aamiin~~